Pengerusi YGMB, Tan Sri Ali­muddin Mohd. Dom berkata, bagi melaksanakan usaha tersebut pi­hak­nya hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Usahasama Pendidikan dengan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar, Perak.
Katanya, melalui memorandum itu, pensyarah dan kakitangan KUISAS berpeluang menjadi ahli YGMB di bawah Skim Keahlian Baharu yang menawarkan 16 faedah antaranya bantuan khairat kematian, kewangan, pendidikan dan per­ubatan.
“Pembukaan ahli dalam kalangan pensyarah dan kakitangan KUISAS ini merupakan julung ka­li diadakan kerana sebelum ini kesemua ahli YGMB hanya terdiri daripada guru dan staf sokongan di sekolah.
“Kami akan melihat prestasi kerjasama ini sebelum membuka peluang yang sama kepada pensyarah dan kakitangan di universiti lain pula pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma YGMB, di sini hari ini.
Yang turut hadir Rektor KUISAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi dan Pengurus Koperasi YGMB, Hashim Mohd. Yusof.
YGMB merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1994 dan turut mempunyai koperasinya sendiri yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sejak enam tahun lalu.
Menurut Alimuddin, dalam MoU yang sama, YGMB turut memeterai kerjasama menawarkan pembiayaan pinjaman sehingga RM30,000 kepada ahli yayasan tersebut yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah hingga doktor falsafah (Ph.D) di KUISAS.
Katanya, ahli YGMB juga boleh memohon pinjaman yang disediakan itu untuk pembiayaan pendidikan anak-anak mereka di kolej universiti yang sama dengan tempoh bayaran balik antara lima hingga 10 tahun.
“Sebelum ini Koperasi YGMB hanya menyediakan pinjaman kredit untuk tujuan pelancongan, kecemasan serta peribadi kepada ahli dan setakat ini kira-kira 10 orang yang telah membuat pinjaman.
“Justeru, menerusi memorandum ini kita menggalakkan ahli koperasi untuk membuat pinjaman bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Terdapat dua fakulti di KUISAS iaitu Fakulti Pengurusan Teknologi Maklumat dan Fakulti Pengajian Islam dan setiap fakulti tersebut menawarkan beberapa program pengajian bermula di peringkat diploma sehingga Ph.D.